Filem Pasir Salak King Of The River

Pengarah dan penerbit tersohor, Syamsul Yusof, 38, tidak menolak meneruskan projek filem peninggalan seniman legenda, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Pasir Salak – King Of The River yang dirancang sejak 1993.

Namun, menurut Syamsul, dia perlu memilih kisah epik terbaik bersesuaian dengan perbelanjaan yang bakal dikeluarkan, biarpun beberapa kerajaan negeri seperti Melaka, Terengganu dan Perak berminat bekerjasama dengannya menghasilkan filem epik mengenai pahlawan negeri.

Syamsul yang ditemui pada Bicara Persada Ke-62 bertajuk Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan: Yang Tersurat dan Tersirat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),pada Selasa berkata.”Sebenarnya, banyak negeri berminat bekerjasama, namun, masih dalam proses perbincangan. Seperti diketahui, kita mempunyai banyak pahlawan terbilang, jadi saya sedang memilih legenda mana yang terbaik dan bersesuaian dengan bajet.

Bagaimanapun, Syamsul berkata, dia sudah bertemu anak arwah Jins untuk meneruskan projek filem Pasir Salak, namun, tidak banyak yang boleh dikongsi memandangkan masih dalam proses perbincangan.

“Saya sudah berbincang dengan anak arwah Jins. Dia menghubungi saya meminta meneruskan filem Pasir Salak, saya fikir kenapa tidak? Ini kerana ia niat murni, memandangkan arwah sudah membuat kajian

Bagi Syamsul, dia memerlukan bajet sekurang-kurang RM20 juta untuk menjayakan filem pahlawan Melayu Perak itu.

“Sebab saya sudah buat kajian, banyak benda diperlukan seperti lensa sahaja sudah mahal. Kalau kerajaan beri RM10 juta pun saya boleh buat, tetapi agak sayang jika tidak buat sebaiknya.

Terdahulu, media ada melaporkan kerajaan Terengganu sedia bekerjasama dengan Syamsul untuk pembikinan filem pahlawan Terengganu seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan Tokku Paloh.

Selain Syamsul, bicara itu menampilkan ahli panel seperti pengarah dan penerbit, Datuk Rosyam Nor dan Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, manakala Sayed Munawar Sayed Mod Mustar sebagai moderator.

Tajuk Mat Kilau Kebangkitan Palawan: Yang Tersurat dan Tersirat diangkat bagi mengupas isu hangat filem yang melakar sejarah dalam dunia perfileman sepanjang zaman apabila memperoleh kutipan mencecah RM96 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *